MUZIUM PERANG PULAU PINANG

Muzium Perang Pulau Pinang ini merupakan sebuah pos artileri tentera British (Penang Battery) menempatkan meriam-meriam bagi mempertahankan kawasan perairan dan sebahagian Pulau Pinang sekiranya diancam musuh dari laut semasa Perang Dunia Kedua. Ia dibina sekitar tahun 1930an.

Ia dibina lengkap dengan kubu perlindungan, kuarters, pejabat bawah tanah, meriam-meriam pertahanan udara dan terowong menghubungkan ke pantai yang pada masa itu mempunyai jeti bagi kapal selam tentera laut British berlabuh. Tembakan meriam-meriam ini juga dapat melindungi Pengkalan Udara Tentera British di Butterworth.

Dikenali sebagai Fort Batu Maung kerana terletak di atas Bukit Batu Maung manakala penduduk tempatan mengenalinya sebagai Bukit Punjab kerana ia dikawal oleh askar-askar berketurunan Punjab.

Malangnya semasa Perang Dunia Kedua serangan Jepun tidak datang dari pantai dan pos artileri ini ditinggalkan manakala meriamnya dimusnahkan apabila tentera British berundur. Tentera Jepun menggunakan Fort Batu Maung sebagai pengkalan bagi mengawasi keselamatan di perairan Pulau Pinang.

Sejak 1945 ia ditinggalkan apabila Tentera Jepun menyerah kalah sehinggalah kawasan ini dibangunkan semula sebagai muzium pada tahun 2002 bagi mempamerkan segala kelengkapan perang serta garis masa sejarah dahulu kala.

Menariknya di sini, alatan dan senibina asal masih dikekalkan supaya pengunjung dapat merasai sendiri peristiwa bersejarah tersebut. Jom kunjungi Muzium Perang Pulau Pinang bersama team Histourism 

Share This:

Leave a Reply