Penglipurlara Awang Batil

0 0
Read Time:1 Minute, 44 Second

Awang Batil ialah seni ‘penglipurlara’ yang hanya terdapat di negeri Perlis. Ianya dikenali dengan nama ‘Awang Batil’ kerana menggunakan batil, yakni bekas air yang diperbuat daripada tembaga. Kini, seni tradisi ini diwarisi oleh satu-satunya pengamal tradisi ‘Awang Batil’ di Malaysia iaitu Encik Ramli Bin Mahmud.

Watak ‘hulubalang’ dan ‘wak nujum’ yang ditampilkan oleh tukang cerita secara solo dalam bentuk penyamaran dengan mengenakan topeng kayu berwarna merah dan memukul alat muzik seakan-akan belanga dipanggil batil menjadi ciri unik yang hanya dapat disaksikan dalam persembahan Awang Batil ini.

Berdasarkan pengalaman Encik Ramli, seseorang yang ingin mewarisi cerita-cerita Awang Batil hendaklah menyediakan sirih pinang, sintuk, rokok tembakau dan kemenyan serta wang pengeras kepada gurunya. Apabila muridnya ditepuk bermulalah si murid mempelajari cerita-cerita Awang Batil sambil memukul batilnya. Pukulan batil itu amat besar gunanya. Irama dari pukulan batil itulah sebagai sumber ilham cerita yang menjelma di fikirannya. Ketika itu juga seseorang Awang Batil dapat membahagi-bahagikan ceritanya. Bila pukulan itu terhenti maka akan terputus ilham sesebuah cerita.

Antara alat-alat muzik lain yang digunakan ketika persembahan ialah biola, serunai, rebana dan gendang terinai. Hampir kesemua alat muzik ini dibuat sendiri oleh Encik Ramli dan keluarga yang terdahulu. Ketika persembahan dilakukan, selain memukul batil dan bermain alat muzik, Encik Ramli juga akan menggunakan topeng. Ada dua buah topeng yang digunakan iaitu topeng Hulubalang dan topeng Wak Nujum.

Persembahan Awang Batil sering diadakan di majlis-majlis perkahwinan dan malam-malam keramaian. Biasanya tempat persembahan dibuat di rumah kecil setinggi 3 atau 4 meter. Di keliling rumah itu, penonton-penonton akan mengikuti cerita sehingga dinihari. Persembahan sesebuah cerita akan mengambil masa dua sehingga lima malam. Cerita yang panjang ini biasanya dipersembahkan di rumah yang menjemputnya membuat persembahan Awang Batil terutamanya selepas musim menuai padi.

Kini, di usia emasnya, Encik Ramli diiktiraf sebagai “Orang Warisan” oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) dan beliau turut mengakui bahawa beliau sangat terkesan jika seni Awang Batil ini pupus. Marilah kita bersama-sama melestarikan warisan budaya tradisional kita supaya seni warisan yang unik ini tidak akan pupus ditelan zaman.

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published.