Teratak Za’ba

0 0
Read Time:2 Minute, 59 Second

Teratak Za’ba telah dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di Negeri Sembilan. Bahan utama bangunan ini diperbuat daripada Kayu Cengkal (penak) dan reka bentuknya masih bercirikan Rumah Tradisional Negeri Sembilan. Teratak yang kini mencecah usia lebih 100 tahun, dibina di atas sebidang tanah seluas 0.4 hektar, di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir Timur, Jempol iaitu tempat tokoh itu dilahir dan dibesarkan.

Pelawat boleh membaca sendiri perjalanan hidup Za’ba dengan lebih terperinci mengikut susunan tahun. Dari beliau baru dilahirkan, memasuki alam persekolahan, pekerjaan hinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir. Za’ba atau Zainal Abidin bin Ahmad bin Ibrahim bin Hj Ahmad bin Hj Amil telah dilahirkan pada 16 September 1895 di Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan.Kesemua barang dan khazanah peribadi yang diabdikan dalam Teratak Za’ba itu adalah milik tokoh tersebut yang diperoleh daripada waris, keluarga dan rakan-rakannya serta Arkib Negara, Universiti Malaya, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Maktab Perguruan Kuala Kangsar. Malah, orang ramai dan peminat yang mengagumi tokoh ini juga berpeluang untuk melihat 2,000 pucuk surat yang ditulis tangan oleh tokoh itu kepada rakan-rakannya serta 30 buah buku ejaan Bahasa Melayu.

Selain itu, sebahagian daripada 4,000 buah buku koleksi milik Za’ba yang didermakan kepada Universiti Malaya turut dipamerkan.Paling istimewa, Teratak Za’ba ini juga mempamerkan songkok yang dipakai oleh Za’ba semasa hari penganugerahan gelaran Pendeta pada 21 September 1956 iaitu semasa berlangsungnya Kongres Bahasa dan Persuratan Bahasa Melayu Universiti Malaya Ketiga. Bahkan, orang ramai boleh melihat destar (tengkolok) yang digunakan oleh tokoh itu ketika beliau menerima bintang kebesaran Darjah Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Dipertuan Agong pada 23 Jun 1973. Bangunan Teratak Za’ba yang menelan belanja sebanyak RM630,000 itu mempunyai tiga anjung yang menempatkan sudut cetusan ilham, sudut pendidikan awal, sudut anugerah, ruang tidur dan dapur serta perpustakaan kecil. Sudut cetusan ilham mempamerkan suasana bilik bacaan dan memperlihatkan ruang tokoh itu menghasilkan penulisan serta karya-karya penting. Di ruang itu juga diletakkan patung seorang lelaki duduk di atas kerusi sedang menaip menggunakan sebuah mesin taip lama dan di atas meja terdapat beberapa naskhah buku tersusun bersama lembaran kertas, pen, botol dakwat, buku nota, pensil dan pemadam. Majalah lama dan suratkhabar lama diletakkan di atas lantai berhampiran buku sementara di satu sudut lain buku-buku tersusun rapi di dalam sebuah almari kayu dan di atas almari itu terdapat sebuah papan rehal dan senaskhah al- Quran.

Di anjung kiri bangunan ini memperlihatkan ruang diorama mengaji al-Quran menggambarkan suasana pendidikan awal yang diterima oleh Za’ba semasa zaman kanak-kanak.Selain itu, di sudut anugerah dan sumbangan pula mempamerkan replika anugerah yang diterima oleh Za’ba sepanjang bekerja dan selepas bersara.Anugerah itu seperti pingat-pingat dan cenderamata berupa songkok dan tongkat dipamerkan di dalam bekas kaca bertutup manakala sudut sumbangan pula mempamerkan hasil sumbangan Za’ba seperti buku, rencana dan surat-surat.Di ruang bilik tidur pula menampilkan barang-barang milik Za’ba seperti sebuah katil besi, sebuah peti pakaian kulit buatan luar negara dan sebuah cermin muka berukir yang dipadankan dengan meja solek.Di ruang belakang pula dijadikan perpustakaan mini yang mengandungi salinan buku-buku karangan Za’ba untuk murid-murid sekolah dan penuntut-penuntut pengajian tinggi. Perkarangan luar Teratak Za’ba dikelilingi dengan pokok-pokok jambu merah yang menjadi buah kegemaran tokoh cendekiawan negara itu. Persekitaran dalam dan luar Teratak Za’ba sengaja digarap sedemikian rupa bagi mengembalikan nostalgia kehidupan Za’ba dari tahun 1895 hingga 1973 untuk tatapan para pengunjung.

Alamat dan Direktori:-

Teratak Za’ba, Kg Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol, Negeri Sembilan

Tel/Fax : 06-498 5193

Happy
Happy
0 %
Sad
Sad
0 %
Excited
Excited
0 %
Sleepy
Sleepy
0 %
Angry
Angry
0 %
Surprise
Surprise
0 %

Average Rating

5 Star
0%
4 Star
0%
3 Star
0%
2 Star
0%
1 Star
0%

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *